Pak De, Tok jang,Safiyyah, Zafran dan Ummie |
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)
Perkataan “ikhwah” atau bersaudara di dalam ayat ini menggambarkan hubungan yang seperti mempunyai pertalian darah dan hubungan kekeluargaan yang amat erat malah lebih erat dari itu. Begitulah hebatnya persaudaraan dikalangan orang-orang yang beriman. Ikatan ini sepatutnya lebih utuh dari pertalian darah (thicker than blood). Memelihara hubungan persaudaraan sesama Islam merupakan terjemahan dari sifat keimanan.
Sillaturrahim terjalin di Aidilfitri |
Sekiranya timbul perbalahan maka Allah Ta’ala memerintahkan agar diatasinya dan bertaut kembali hubungan silaturrahim yakni ikatan kasih sayang. Ayat ini juga memerintahkan kita bertaqwa yakni memelihara diri agar sentiasa melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Itulah dia formula utama dalam menjaga persaudaraan dan kasih sayang. Taat dan takut hanya kepada Allah (swt).
Mereka yang bertaqwa sentiasa beroleh rahmat dariNya. Mereka yang mendamaikan perbalahan akan sentiasa beroleh rahmat dariNya. Begitu juga mereka yang sentiasa menjaga hubungan kasih sayang akan sentiasa mendapat rahmatNya. Hanya orang-orang yang beriman dan bertaqwa yang mampu untuk benar-benar menjaga dan memelihara hubungan kasih sayang sesama Islam.
Konsep berkasih sayang (ruhama’) disebut di dalam Surah Al-Fath ayat 29:
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam), dan bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud dengan mengharapkan limpah kurnia dari Allah serta mereka mengharapkan keredaanNya.”
Ayat ini jelas menerangkan bahawa mereka yang menjadi pengikut Nabi Muhammad (saw) atau mereka yang Islam dan beriman akan bersifat tegas terhadap golongan bukan Islam yang memusuhi Islam tetapi sentiasa sayang menyayangi antara sesama sendiri. Kekuatan kasih sayang dan kekuatan orang Islam itu hanya dapat diwujudkan dengan beribadah serta taat dan taqwa kepada Allah.
Didalam memastikan kekukuhan sebuah negara, perpaduan amatlah penting didalam Islam. Kerjasama erat sesama rakyat tanpa mengira agama dan bangsa menjadi asasnya. Islam membolehkan bersifat tegas terhadap golongan kafir yang benar-benar memusuhi Islam tetapi hendaklah memelihara hubungan dengan golongan bukan Islam yang mempunyai hubungan baik dan tidak memusuhi Islam.
Nabi (saw) sentiasa menunjukkan sifat yang amat mulia dan baik terhadap golongan kafir yang tidak memusuhi Islam. Baginda sentiasa memenuhi jemputan dan hajat yang datangnya dari golongan ini. Perpaduan begini hanya dapat diwujudkan setelah persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam itu terlaksana. Apabila wujudnya ikatan kasih sayang berdasarkan keimanan dikalangan umat Islam maka barulah perpaduan sebenar dapat direalisasikan.
Perbezaan pendapat merupakan suatu perkara lumrah dikalangan semua manusia. Keimanan dan ketaqwaan menjadi titik persamaan yang akan sentiasa memelihara hubungan kasih sayang orang-orang beriman. Dalam Islam terdapat adab atau tatacara yang jelas dengan Allah Ta’ala, dengan diri sendiri dan antara sesama manusia serta dengan segala makhluk yang lain. Islam adalah suatu kaedah menjalani kehidupan dengan penuh adab.
Adab dan tertib ini tiada tujuan yang lain selain dari menjaga kesejahteraan semua makhluk. Aturan Allah (swt) adalah bagi tujuan kepentingan diri kita sendiri. Dia yang Maha Pencipta yang telah menciptakan segala-galanya adalah yang Maha Mengetahui dan paling arif tentang segala perkara termasuklah tentang semua makhluk ciptaanNya. Kerana itu dalam menangani masalah manusia tiada cara lain yang paling tepat melainkan apa yang telah diperintahkanNya, tiada lagi kaedah lain yang betul selain dari itu.
Tiada had bangsa, warna kulit, bahasa, rupa dan sebagainya dalam persaudaraan Islam, yang wujud cuma keimanan. Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang menggambarkan kekukuhan dan keindahan hubungan kasih sayang yang berdasarkan dari keimanan:
“Dari Abu Musa (ra), Rasulullah (saw) bersabda: “Orang mukmin dengan orang mukmin itu adalah seperti sebuah bangunan, menguatkan antara sebahagiannya dengan sebahagian yang lain.” Kemudian baginda menyelang kuat di antara jari-jari baginda."
Islam melabelkan orang yang sukakan perselisihan faham dan perpecahan sesama Islam sebagai golongan yang melampaui batas aturan Allah (swt). Sikap melampaui batas sehingga melanggar aturan Allah Ta’ala merupakan dosa yang besar dan amat dibenci dalam Islam. Nabi (saw) menyatakan didalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad:
“Sesungguhnya kedudukan seorang mukmin di kalangan orang-orang beriman adalah seperti kepala dari tubuhnya. Ia akan merasa sakit jika badannya sakit.” (Imam Ahmad).
Begitu erat dan hebat ikatan kasih sayang antara orang yang beriman. Dalam sebuah lagi hadis yang lain dari riwayat Imam Muslim juga menyebut kehebatan ikatan kasih sayang dikalangan orang-orang Islam:
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota turut merasakannya dengan tetap berjaga dan demam.” (Imam Muslim).
Islam memerintahkan agar menjaga hubungan kasih sayang serta mempereratkannya dengan sentiasa berusaha untuk perdamaian bagi mengatasi perbalahan. Islam juga melarang keras sikap menghina atau mempermain-mainkan sesama-orang-orang beriman. Bersangka buruk adalah merupakan salah satu dari pencetus pertikaian. Sifat ini akan membawa kepada satu lagi sikap yang dilarang iaitu suka mencari kesalahan dan kekurangan orang lain. Perangai ini akan hanya mencetuskan sifat semulajadi iblis dalam diri iaitu perasaan merasakan diri lebih baik dari yang lain.
Perselisihan faham dan pergaduhan merupakan usaha dan rancangan iblis serta kuncu-kuncunya. Apabila seseorang terjerumus kepada perkara ini maka telah tewas dan tunduk kepada iblis dan sekutunya yang dilaknati Allah (swt). Berlindunglah kita dari yang sedemikian itu. Iblis dan pengikutnya sentiasa berusaha merosakkan kasih sayang antara kita dan menyemai benih kebencian dan perpecahan dikalangan orang-orang beriman.
Memperbaiki hubungan kasih sayang hendaklah dilakukan dengan giat dan bersungguh-sungguh dan sanggup mengorbankan segala apa yang dibolehkan oleh Islam. Islam tersebar dengan kasih sayang. Kerana itulah peristiwa hijrah dan persaudaraan di Madinah menjadi suatu perkara yang amat besar dan indah dalam sejarah dakwah kekasih Allah (swt) ikutan kita Nabi Muhammad (saw).
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Suhaimi Rethwan...SAA |
Ayat ini jelas menunjukkan sikap yang wajib ada pada diri setiap orang yang beriman. Islam itu merupakan cara menjalani kehidupan dengan penuh kasih sayang. Islam itu terjemhan bagi kasih sayang. Kasih sayang itu adalah realisasi dari keimanan yakni percaya dan yakin dengan perintah Allah (swt). Ikatan kasih sayang sesama Islam adalah ikatan yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala sendiri.
Maka wajiblah kita memeliharanya dengan cara yang telah diperintahkan olehNya. Nabi Muhammad (saw) telah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari:
“Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri” (Imam Bukhari)
Itulah dia antara penjelasan yang amat jelas mengenai iman. Satukanlah hati agar kasih sayang dapat diwujudkan. Kesatuan hati hanya dapat dibina dengan kehambaan kepada Allah Ta’ala sebagaimana yang telah diajar oleh Nabi Muhammad (saw).
No comments:
Post a Comment