Iklan

16 September 2010

Taat kepada ibu bapa

NABI Sulaiman dikurniakan Allah dengan pelbagai keistimewaan bagi meyakinkan umatnya pada masa itu kepada kekuasaan dan kebesaran-Nya. Baginda bukan saja mampu berinteraksi sesama manusia, malah dengan haiwan dan jin. Inilah keistimewaan yang diberikan Allah kepada Nabi Sulaiman dalam melaksanakan misinya menyebarkan ajaran Islam kepada umatnya.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman berkelana antara langit dengan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, Baginda memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.

Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin menyelam dalam lautan itu hingga ke dasarnya. Di situ, jin melihat sebuah kubah daripada permata putih tanpa lubang, kubah itu diangkat ke atas lautan itu dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan. “Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya.

Nabi Sulaiman kemudian meminta pertolongan Allah untuk membuka tutup kubah itu. Baginda terkejut, apabila melihat seorang pemuda dalamnya.

“Siapakah kamu? Adakah kamu kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan.

"Saya adalah manusia," jawab pemuda itu perlahan-lahan.

“Bagaimana engkau berada dalam keadaan begini,” tanya Nabi Sulaiman lagi. Pemuda berkenaan kemudian menceritakan riwayatnya hingga boleh tinggal dalam kubah dan berada dasar lautan.

Diceritakan, ibu pemuda itu sudah dan tidak berdaya untuk bergerak. Pemuda itulah yang memapah dan mengendong ibunya ke mana saja dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya dan ibunya pula tidak putus-putus mendoakannya.

Antaranya, ibu itu selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

Nabi Sulaiman kemudian bertanya kepada pemuda itu: “Bagaimana kamu berbakti kepada mereka?”

Pemuda itu mula bercerita: “Saya menjaga mereka hingga mereka tua.

“Kedua-dua ibu bapa saya sangat taat kepada Tuhan. Sejak kecil hingga dewasa, saya dijaga dan dipelihara dengan sempurna.

“Mereka selalu memohon kepada Tuhan supaya saya menjadi orang yang taat kepada perintah Allah. Ayah saya meninggal dunia pada usia tuanya dalam penjagaan saya.

“Ibu saya pula lemah dan sering sakit-sakit. Matanya buta dan kakinya lumpuh.

“Sayalah satu-satunya yang menjaga segala keperluannya seperti membersihkan badannya dan memandikannya.

“Segala keperluan makan dan minumnya saya uruskan.

“Saya menyuap makanan dan minuman ke mulutnya seperti dia suapkan saya ketika kecil.

“Saya selalu bermohon kepada Tuhan. Ibu saya juga bermohon agar saya dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup ini.

“Ibu saya juga bermohon kepada Tuhan agar selepas kematiannya nanti saya diberi tempat khusus yang letaknya bukan di bumi dan bukan juga di langit,” katanya.

Pemuda itu meneruskan ceritanya : “Selepas ibuku meninggal dunia. saya berjalan di pantai.

“Dalam perjalanan. saya melihat sebuah tempat yang diperbuat daripada permata.

“Saya mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu. saya masuk ke dalamnya.”

Nabi Sulaiman kagum dengan cerita pemuda itu. Baginda ingin mengetahui lebih lanjut latar belakang pemuda ini.

“Kamu hidup pada zaman mana?” tanya Nabi Sulaiman.

Jawabnya: “Saya hidup pada zaman Nabi Ibrahim.”

Nabi Sulaiman mengira-ngira berapa usia pemuda itu. Alangkah terkejutnya kerana umur pemuda itu hampir mencecah 1,400 tahun. Namun wajahnya berseri-seri, tiada uban pada rambutnya, kulitnya masih tegang.

“Bagaimanakah saudara dapat merasai nikmat dan mendapat rezeki daripada Tuhan dalam kubah ini?” tanya Nabi Sulaiman.

Pemuda itu menjawab: “Selepas saya berada di sini, barulah saya tahu Tuhan telah menjadikan syurga untuk saya dalam kubah ini.”

Nabi Sulaiman bertanya lagi “Tunjukkan pada saya syurga itu.”

Pemuda itu diam seketika, kemudian dia menadah tangannya memohon kepada Tuhan.

Tiba-tiba suasana kubah yang gelap itu menjadi terang-benderang indah bercahaya. Terpampang pemandangan yang begitu indah di depan Nabi Sulaiman dan tenteranya. Sungai mengalir tenang, kebun bunga yang subur, pohon merendang, kolam madu dan susu terpancar indah.

“Wahai pemuda, ini syurga! Saudara mendapat anugerah daripada Tuhan,” kata Nabi Sulaiman.

“Ini kurnia Tuhan kepada saya. Saya mendapat rezeki daripada pelbagai sumber dan buah-buahan beraneka rasa dan jenis. Semua makanan yang saya ingini terhidang,” jawab si pemuda.

Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan antara bumi dengan langit kagum dengan pemuda itu.

“Bagaimana engkau boleh hidup dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.

Pemuda itu menjelaskan: “Dalam kubah itu sendiri. saya tidak tahu di mana saya berada. Di langit atau di udara.

“Namun, Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika tinggal dalam kubah itu."

Nabi Sulaiman bertanya lagi: “Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?"

Pemuda itu menjawab: "Jika saya lapar, Allah menciptakan pohon dalam kubah, dan buahnya yang saya makan.

“Jika saya haus, maka keluarlah air yang teramat bersih. Lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

Nabi Sulaiman ingin mengetahui lagi: “Bagaimana engkau mengetahui perbezaan siang dan malam?"

Jawab pemuda itu: “Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih.

“Dari situ saya mengetahui kalau hari itu sudah siang. Apabila matahari terbenam, kubah akan menjadi gelap dan saya mengetahui hari sudah malam."

Nabi Sulaiman mendengar penerangan pemuda itu dengan penuh kagum. Baginda seolah-olah tidak mahu berhenti mendengarnya.

“Cukuplah sampai di sini. Sekarang saya harus bersembahyang bagi mengadap Tuhan,” kata pemuda itu mengakhiri perbualannya.

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali. Pemuda itu terus tinggal dalamnya.

Itulah balasan Allah terhadap seorang pemuda yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Allah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Ini jelas diterangkan melalui firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra’, ayat 23)

Berbakti kepada ibu bapa adalah berbuat baik, mentaati, melaksanakan hak, jauh daripada perilaku menyakiti hati dan kehidupan mereka.

Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan itu, adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga.

Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Daripada Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim."





No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails