Iklan

17 September 2010

Contohi Rasulullah tahan marah, memaafkan musuh

Bermaafan di 391 FELDA Trolak Utara

Amalan bermaaf-maafan ini, terutama ketika menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha sudah menjadi sebati dalam jiwa masyarakat Islam di Malaysia.


Lazimnya, amalan bermaaf-maafan ini berlaku sesama sanak saudara yang dekat dan jauh, dengan jiran tetangga, sahabat handai dan sebagainya. Secara tidak langsung, dengan wujudnya amalan ini dalam masyarakat Islam, bermakna konsep kembali kepada fitrah dan kebersihan, suci dari pencemaran dosa dan kesilapan dengan Allah SWT dan sesama insan yang ada pada Aidilfitri telah pun terlaksana.

Hj. Jaafar dan Maimunah 5/38
Di dalam Islam juga, kemaafan adalah sebahagian daripada sifat Allah yang yang suka mengampunkan dosa hamba-Nya, kecuali mereka yang syirik kepada-Nya.

Namun begitu, ada pula syarat tertentu yang membolehkan Allah mengampunkan dosa hamba-Nya, yakni hamba-Nya yang begitu taat dan patuh serta sentiasa bertaubat kepada-Nya.

Sesungguhnya keutuhan dan kewibawaan konsep kemaafan dalam Islam telah lama terbukti. Malah ia tercatat kemas dalam sejarah Islam.

Misalnya sewaktu Nabi Muhammad SAW menyebarkan syiar Islam, baginda tidak pernah memusuhi atau memarahi wanita Yahudi yang selalu mencaci, meludah dan melemparkan najis kepada baginda ketika setiap kali melalui berdekatan rumah wanita itu.

Dengan sikap kemaafan yang ditunjukkan oleh Rasulullah, wanita itu telah menganut agama Islam.

Ketika peristiwa Fath Makkah (pembukaan Kota Makkah), Rasulullah tidak pernah melakukan pembunuhan walaupun baginda dan rombongannya telah berjaya menguasai Kota Makkah.

Rasulullah juga pernah memaafkan seorang Arab Badwi yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid. Baginda menegah orang ramai daripada mengerumuni dan menghalangnya. Menurut Anas bin Malik, sebaik saja orang itu pergi, Rasulullah SAW meminta sebaldi air, lalu mencurah ke atasnya iaitu membasuhnya.


Sikap mulia Rasulullah yang sentiasa berlapang dada dan suka memaafkan musuh-musuh Islam seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa pemimpin masyarakat Musyrikin Makkah ketika itu, menyebabkan suasana hidup aman damai dapat dipertahankan.

Apabila sifat maaf-memaafkan antara satu sama lain itu diamalkan oleh baginda, hasil dakwah Rasulullah adalah positif. Dengan mengamalkan sikap mulia ini, Islam dapat disebarkan dengan meluas.

Selain itu, ketika Saidina Abu Bakar al-Siddiq terlalu marah terhadap Mistah yang turut menyebarkan cerita fitnah (Kisah Ifki) terhadap anaknya, Aisyah, maka beliau telah bersumpah tidak akan memaafkan Mistah dan akan menghentikan bantuan yang diberikan kepadanya.

Menurut ahli tafsir al-Quran, berikutan peristiwa ini, maka turunlah ayat 22 daripada Surah al-Nur yang bermaksud: “Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang yang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah, hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Berpandukan ayat ini, jelas menunjukkan bahawa manusia yang sedang marah disebabkan oleh perbuatan orang lain yang menyebarkan berita fitnah dan tuduhan palsu seperti yang dihadapi oleh Saidina Abu Bakar dan ahli keluarganya diminta oleh Allah SWT supaya mengambil jalan kemaafan dan berlapang dada terhadapnya.

Sebenarnya sikap ini satu sikap yang mulia dan unggul yang diajarkan oleh agama Islam. Keunggulan dan kemuliaan sikap kemaafan itu, telah meletakkan kemaafan sebagai salah satu sikap penting yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Sekiranya sikap bermaaf-maafan ini tersemat rapi dalam diri maka sudah pasti perasaan dendam tidak akan timbul, malahan membuahkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Jika diamati dengan betul, perkara ini boleh berlaku dalam kehidupan kita seharian.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails