
Riwayat daripada Jabir r.a : Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: "Menjelang akhir malam Ramadhan, maka menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan para malaikat, kerana akan berlalunya Ramadhan, maka berlalulah fadhilatnya. Ini merupakan musibah bagi umatku". Ditanya orang, "Apakah musibah itu, ya Rasulullah?". Jawab Rasulullah s.a.w, "Dalam bulan itu segala doa mustajab, sedekah makbul, segala kebajikan digandakan pahalanya dan seksaan kubur terkecuali, maka apakah musibat yang terlebih besar apabila semuanya itu sudah berlalu?".
Walau bagaimanapun, bulan Ramadhan tidak terus berlalu begitu sahaja. Ibadat puasa sebagai satu perjuangan sepanjang bulan Ramadhan itu, sebenarnya akan menemui kemuncaknya pada hari satu Syawal yang dinamakan Hari Raya Puasa atau Hari Raya Fitrah ('Idul-Fithri) yang merupakan hari kemenangan bagi perjuangan itu. Sekiranya perjuangan itu disempurnakan sebaik-baiknya dengan niat yang suci, ikhlas, penuh kesedaran, kebaktian dan ketakwaan , nescaya tercapailah kemenangan atau kejayaan yang hakiki di dunia dan di akhirat.
Sambutan Hari Raya Fitrah:

Pada pagi hari raya, apabila berhimpun para muslimin dan muslimat di tempat-tempat ibadat, Allah Taala berfirman, "Hai sekalian malaikat-Ku. Apakah balasan kepada orang-orang yang mengambil upah (mengerjakan ibadat mereka)?" Sembah para malaikat, "Hai Tuhanku, Balasannya, disempurnakan upahan (pahala) bagi mereka". Allah berfirman lagi, "Persaksikanlah sekalian kamu, hai malaikat-Ku, bahawa sesungguhnya Aku telah menjadikan pahala puasa Ramadhan itu keredhaan-Ku dan keampunan-Ku. Hai sekalian hamba-Ku (umat Muhammad). Demi ketinggian-Ku dan kebesaran-Ku, Aku perkenankan permohonan kamu pada hari ini. Demi ketinggian-Ku dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku tawaqquf (menamatkan) segala dosa kamu. Sesungguhnya kamu telah meridhakan Aku dengan keridhaan kamu".
Kurniaan Allah S.W.T untuk umat Muhammad s.a.w itu disambut oleh para malaikat dengan rasa amat sukacita.
Sejarah memperlihatkan satu Syawal menjadi pilihan Allah Taala untuk melakukan sesuatu yang teristimewa. Pada hari satu Syawal, Allah menciptakan syurga. Pada hari satu Syawal juga Syajaratul-Thuubaa ( Pokok Kebahagiaan ) ditanam. Pada hari Fitrah juga tukang-tukang sihir Fir'aun diampunkan Allah dosa mereka.
Fadhilat 1 Syawal:
Anas r.a meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.aw bersabda, mafhumnya: "Barangsiapa membaca : Laa ilaaha illallaahu wahdahuu laa syariika lah, lahul-mulku wa lahul-hamdu yuhyii wa yumiit, wa huwa haiyun laa yamuutu biyadihil-khayr wa hua 'alaa kulli syayin qadiir sebanyak empat ratus kali sebelum daripada sembahyang sunat hari raya (sama ada 'Idil-Fitri atau 'Idil-Adhha), dia akan dikahwinkan oleh Allah Taala dengan empat ratus bidadari (Hawrul-'Ayn) dan mendapat pahala seperti memerdekakan seratus raqabah (hamba)."
Mengikut riwayat Abu Umamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya, "Barangsiapa mengerjakan ibadat pada kedua-dua malam raya, tidak mati hatinya pada hari yang dimatikan segala hati".
Hikmat Hari Raya:
SEBENARNYA setiap detik peristiwa pada kedua-dua hari raya tersebut adalah mengandungi hikmah dan makna atau merupakan gambaran simbolik kepada apa yang akan berlaku ke atas manusia selepas mati. Mngikut hukama' / ulama', "Hari raya itu adalah untuk mengingatkan hamba Allah kepada hari akhirat (hari kiamat). Apa yang berlaku pada hari raya adalah tamsilan kepada detik-detik peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat ..."
Justeru, hukama' menganjurkan agar setiap peristiwa pada hari raya direnungi dan dibayangkan sebagai ibarat atau tamsilan kepada peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat kelak, sebagaimana berikut :
Demikianlah, anjuran hukama' supaya apa yang berlaku pada hari raya itu direnungi dan dijadikan iktibar, dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang bakal terjadi pada hari kiamat. Dengan berbuat demikian, diharap akan timbul keinsafan dan ketakwaan dalam diri.
Lima Hari Raya yang Lain:
Selain hari Raya Fitrah dan hari Raya Adhha, sebenarnya, bagi mukminin / mukminat, ada lagi lima hari raya yang lain, iaitu :
hari kelahiran dari kandungan rahim ibu dalam ke adaan suci daripada dosa;
hari kematian dengan pencapaian husnul-khaatimah;
hari kejayaan melewati titian Siratal-Mustaqim dan terselamat daripada pelbagai huru-hara pada hari kiamat;
hari memasuki syurga dengan sejahtera;
hari menemui (menikmati) wajah Allah Azza wa Jall - hari raya yang paling agung ('Iidul-akbar )!
Wallahu a'lam.
rujukan: jam'ul-fawaid
No comments:
Post a Comment