Iklan

05 January 2011

Konflik Palestin-Israel, Siapa Sebenarnya Yang Mahukan Keamanan

Posted on IrwanAffendi on December 24, 2010
Sungguhpun terdapat jauhnya perbezaan antara apa yang bakal dilepaskan Israel dan apa yang apa yang bakal diterima pihak berkuasa Palestin sebagai asas perdamaian konflik, pemimpin-pemimpin negara lain terutamanya Washington terus melakukan usaha-usaha untuk membawa proses rundingan kembali ke titik mula.
Tidak cukupkah lagi tanda keengganan Israel mematuhi perjanjian pemberhentian pembinaan kawasan penempatan haram untuk hanya 90 hari sehinggakan mereka dijanjikan tawaran-tawaran menarik oleh pentadbiran Obama (20 jet pejuang F-35 yang boleh digunakan untuk menyerang Iran; jaminan dari Amerika untuk memveto mana-mana usaha Keselamatan untuk memperakui negara Palestin; dan jaminan bahawa Israel tak perlu lagi memberhentikan pembinaan penempatan haramnya).
Ini seolah-olah meminta seorang perompak tegar yang bersenjata untuk berhenti merompak beberapa buah bank selama 3 bulan dengan jaminan akan dibayar sejumlah wang yang besar sebagai ‘ganti’.
Keadilan haruslah dilihat dari sudut memenuhi hak-hak rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan, terutamanya hak untuk hidup dengan kesungguhan yang sekian lama cuba dihancurkan.
Pembahagian Palestin Bersejarah yang berterusan
Penerimaan ‘paksa’ Palestin terhadap persempadanan 1967 (disahkan oleh PLO pada 1988) yang sekadar merangkumi 22% daripada tanah bersejarah Palestin – hanya separuh daripada apa yang ditawarkan PBB pada 1947 hakikatnya telah ditentang oleh seluruh rakyat Palestin dan negara-negara jirannya. Proses persempadanan yang tidak pernah dibincangkan ini disifatkan sebagai helah penjajahan yang akan memberi kesan besar kepada populasi asal Palestin.
Jika dikenang kembali, penerimaan Palestin terhadap persempadanan tahun 1967 adalah petanda kejemuan kepada rundingan-rundingan yang hakikatnya tidak pernah dipenuhi oleh Israel dan Amerika, menguatkan lagi keraguan terhadap komitmen mereka untuk menghentikan konflik ini secara diplomatik.
Kejijikan tindakan kedua-dua negara ini tidak terhenti di situ. Bukan sahaja Amerika gagal mengecam Israel atas keengganannya untuk menunjukkan walau secebis kerjasama ke arah pelan keamanan, malah mereka sekadar mengumumkan yang Amerika tidak akan lagi memujuk Israel untuk menghentikan pembinaan penempatan haram baru, dan akan meneruskan siri rundingan tanpa meletakkan apa-apa syarat. Jelas sekali ini akan menyebabkan peluasan kawasan penempatan haram dan pembersihan etnik akan terus berlaku tanpa tentangan.
EU: Bersuara terhadap isu penempatan haram tetapi membisu tentang pembinaan negara
Tindakan ini juga nampaknya sukar dilakukan oleh EU yang sememangnya pasif dalam isu Palestin. Beberapa hari dulu mesyuarat Menteri-Menteri Luar EU bertempat di Brussel mengeluarkan kenyataan menegaskan agar semua aktiviti pembinaan penempatan haram Israel dihentikan dan blockade Gaza ditamatkan dengan membuka kesemua sempadan untuk bantuan kemanusiaan dan barangan komersial serta pergerakan keluar dan masuk manusia. Kenyataan EU tersebut adalah sangat bersesuaian : “Pandangan kami tentang pembinaan penempatan, termasuk di kawasan Timur Jerusalem adalah jelas : ia adalah salah di sisi undang-undang dan penghalang untuk keamanan.”
Namun begitu, yang dikesalkan, tiada kenyataan yang dikeluarkan EU berkenaan pengiktirafan negara Palestin sekaligus menyebabkan hilangnya peluang untuk memperkukuh langkah diplomatik Brazil, Argentina dan Uruguay yang menyokong penubuhan negara Palestin yang berdaulat merangkumi sempadan yang ditetapkan pada 1967.
Sungguhpun begitu, EU tetap menjarakkan dirinya dari Washington, meninggalkan Amerika berseorangan dalam menzahirkan sokongan terhadap Israel. Dengan menafikan kerjasama diplomatik dengan Turki setelah melakukan jenayah serangan terhadap Flotilla Keamanan yang membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza, Israel mengesahkan status samsengnya di mata dunia.
Di sebalik gelapnya muslihat dan penipuan Israel, rakyat Palestin yang terjajah dan jutaan pelarian melalui hidup dengan kepayahan sambil dunia melihat dan menunggu, seolah-olah putus harapan.
Wakil Amerika dalam menangani konflik ini, George Mitchell, mengulangi bahawa objektif rundingan adalah bagi mencapai “wujudnya sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat..wujud beriringan dengan Israel”. Kecelaruan objektif ini dapat dilihat dengan jelas. Bagaimana mungkin tertegaknya sebuah negara Palestin yang berdaulat apabila pentadbiran Amerika terus merestui tindakan Israel untuk melakukan “pembangunan berterusan” (kata muslihat untuk pembinaan penempatan haram, rampasan tanah, tembok kematian, pembersihan kaum, rampasan Jerusalem) dinyatakan sebagai hasil rundingan?
“Keamanan” jenis apakah yang sedang dirancangkan jika kawasan sempadan Palestin masih lagi dikawal oleh pihak berkuasa Israel dan Palestin yang tidak mempunyai pasukan ketenteraan akan hidup bersebelahan dengan Israel yang nyata mempunyai kekuatan ketenteraan yang tinggi? Jelas Amerika sedang bermain dengan nyawa, namun media arus utama sekadar memandang isu ini dengan sebelah mata.
Nilai Retrospeksi
Pertimbangan ini mengabaikan beberapa aspek yang bermasalah dalam kerangka semasa isu ini. Pentadbiran Netanyahu meminta pengiktirafan Israel sebagai “negara Yahudi”, yang jelas tidak mengambil kira hak minoriti sejumlah 1.5 juta orang atau kira-kira 20% daripada populasi keseluruhan rakyat rakyat Palestin di Israel pra-1967 untuk hidup sebagai rakyat yang bermaruah dan tanpa diskriminasi.
Sejarah adakalanya amat berguna. Perlu diketahui bahkan Deklarasi Balfour yang dianjurkan oleh Britain hanya menjanjikan gerakan Zionis sebuah “tanah untuk kembali”, dan bukan sebuah negara yang berdaulat. Hasil daripada peperangan, muslihat geopolitik dan propaganda halus yang dijalankan, kefahaman dunia telah dialihkan kepada membenarkan sebuah tanah untuk kembali dijadikan sebuah negara berdaulat yang mendatangkan kesan yang sangat memudaratkan kepada penduduk asal.
Dalam hal ini, tindakan Hamas yang menolak pengiktirafan terhadap negara Israel dan bersetuju dengan penubuhan negara berdaulat Palestin melalui persempadanan 1967 adalah satu usaha yang amat bersesuaian dalam menidakkan kedaulatan Israel dan mengelak dari terperangkap dalam kacau bilau politik. Mengharap lebih dari itu mungkin akan menambah parah kepada keadaan rakyat Palestin.
Yang pasti, perjuangan rakyat Palestin tidak boleh dilihat dari kaca mata luar yang tidak memahami. Pihak yang mengharapkan Washington untuk menyelesaikan masalah ini, sungguhpun telah nyata sikap berat sebelah yang ditunjukkan, telah dikelirukan dengan parah. Malah, Hillary Clinton sendiri mengesahkan sendiri perkara ini beberapa hari lalu.
Apa yang nyata kini ialah kedua-dua PA dan Hamas nampaknya setuju untuk menerima penubuhan sebuah negara sendiri berdasarkan persempadanan 1967, yang telahpun ditetapkan dalam Resolusi Keselamatan 242, sebuah dokumen yang sepatutnya mengandungi persetujuan antarabangsa yang berterusan. Dari segi pelaksanaannya, percanggahan jelas dapat dilihat dari projek “pembangunan berterusan” yang dijalankan oleh Israel, sebuah usaha rampasan tanah besar-besaran yang terus menidakkan prospek rakyat Palestin memperoleh negara mereka sendiri.
Diplomasi tanpa kewarasan
Ramai Yahudi di luar Palestin yang meragui sama ada penubuhan dua negara boleh dicapai. Sebaliknya,  mereka mengharapkan tertubuhnya sebuah negara demokratik sekular yang dihuni 2 bangsa, memenuhi perjanjian asal Palestin, dan mempunyai kuasa tunggal dalam menentukan idea demokrasi, hak asasi manusia dan memenuhi tuntutan-tuntutan pelarian Palestin yang sekian lama tertangguh.
Perkembangan geopolitik nampaknya perlahan dan tidak ke mana. Kini isu keselamatan telah diselewengkan oleh diplomat Amerika di rantau ini untuk meneruskan siri rundingan antara kedua-dua belah pihak berkenaan “isu-isu penting” (persempadanan, tetapan keselamatan, Jerusalem, penempatan haram, pelarian, hubungan dengan negara jiran).
Sementara ketidakwarasan ini berterusan, beberapa isu terus meningkat dengan mendadak; pertambahan pembinaan penempatan haram dengan kadar yang mengejutkan, pertambahan segmen baru tembok kematian, peningkatan kes pembersihan kaum di Jerusalem Timur, pengukuhan amalan apartheid di Tebing Barat, survival hidup rakyat di Gaza yang semakin meruncing dan terpenjara serta isu pelarian yang tidak berkesudahan.
Netanyahu memberi amaran keras bahawa; Jerusalem adalah ibu negara Israel, tiada seorang pelarian Palestin pun akan diizinkan pulang, Israel adalah sebuah negara Yahudi, dan apa jua yang dilabel Tel Aviv sebagai “isu keselamatan” tak akan dirunding sama sekali. Melihatkan situasi ini yang digabung bersama ketidakseimbangan kuasa kedua-dua belah pihak dan peranan berat sebelah dimainkan Amerika, siapa lagi yang akan percaya keamanan akan muncul dari proses diplomatik geopolitik yang penuh kecacatan ini?
Bukankah lebih baik ketika ini untuk bergantung kepada Gerakan Solidariti Palestin yang kian mantap, keamanan dari akar umbi dan kejayaan dalam mengisytiharkan Perang Ketelusan menentang Israel, yang dilihat para pemimpin dan pemikirnya sebagai ancaman yang lebih berbahaya daripada penentangan bersenjata untuk mencapai cita-cita kotornya?
Richard Falk adalah Professor Emeritus Albert G. Milbank dalam bidang Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Princeton dan Profesor Pelawat Kehormat dalam bidang Kajian Antarabangsa dan Global di Universiti California, Santa Barbara. Beliau telah menulis dan menyunting pelbagai penerbitan selama tempoh 5 dekad dan yang terkini sedang menyunting naskhah International Law and the Third World: Reshaping Justice (Routledge, 2008).
Beliau kini berada dalam tahun ketiga dari perkhidmatan selama 6 tahun sebagai Perekod Khas untuk hak asasi Palestin di PBB.
Diterjemahkan oleh: Saudara Irwan Affendi Md Naim (Tim Editorial HALUANPalestin)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails