Iklan

03 January 2011

Muhasabah Diri Melalui AZAN

Azan dalam Islam bermaksud memaklumkan. Ia sinonim dengan bilal atau muazzin yang bertujuan untuk mengajak sekalian umat Islam mengerjakan Rukun Islam kedua.

Ia juga sebagai tanda masuknya waktu solat dan beralihnya peredaran masa daripada subuh, tengahari, petang, malam hinggalah ke awal pagi keesokan harinya.

Namun, cuba kita tanyakan diri, apakah yang kita lakukan sebaik sahaja terdengarnya azan?

Adakah kita mendiamkan diri sambil menghayati setiap kalimah azan yang dilaungkan oleh bilal dan menjawabnya satu persatu?

Atau terus bangun untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu' serta bersedia untuk mengerjakan solat?

Mungkinkah hanya membiarkan seruan azan itu berlalu begitu sahaja tanpa menghiraukannya?

Bagaimana pula dengan azan melalui corong radio mahupun televisyen, berapa ramai yang terus menghayati dan berapa kerat pula yang terus menukar siaran sebaik sahaja azan ke udara?

Mari kita berkongsi sedikit waktu untuk menyelidiki apa yang tersirat di sebalik makna panggilan azan itu melalui makna dalam bahasa.
 
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar 
Sebutan empat kali "ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar"ni menunjukkan betapa Agungnya ALLAH SWT, lantas menyedarkan kita betapa kebesaranNya mengatasi segala apa yang ada di langit dan di bumi.

Waktu ini seharusnya fikiran kita difokuskan pada fitrah kejadian seorang manusia sebagai khalifah. Tinggalkan segala hal duniawi dan terus menunaikan kewajipan untuk sujud kepadaNya tanpa sebarang alasan.

Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Sebutan sebanyak dua kali "Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH" yang memberi kesaksian tentang sifat keEsaan Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH.

Lantas menyedarkan kita tentang syahadah kita. Sesungguhnya dengan solatlah syahadah kita terjaga. Dari solat yang khusyuklah syahadah memelihara kita. Lalu apakah alasan kita untuk mengelak dari melakukan hal yang paling utama dari segala perkara yang utama di dunia ini?
 
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH

Sebutan sebanyak dua kali "Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH"ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah saw. Mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad saw. itu sebenar-benarnya utusan dan kekasih ALLAH SWT.

Selepas solat sebaiknya berselawatlah kepada Rasul Junjungan kita dan para keluarga mahupun sahabat Baginda saw..

Pengorbanan dan akhlak Nabi saw. menjadi contoh bagi sekalian umat. Betapa sayangnya Nabi pada umat Baginda sehingga nafas terakhirnya diakhiri dengan kalimah "ummati..ummati..".

Syafaatnya antara rahmat yang diberi pada umatnya. Lantas ringankanlah diri berselawat kepadanya. Cinta kita pada Baginda saw. masih tidak setanding cinta Baginda saw. pada kita.

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Marilah mendirikan solat

Sebutan dua kali "Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH dan Marilah mendirikan solat" adalah mengajak untuk menunaikan solat.

Sebaiknya solat itu adalah solat berjemaah. Solat adalah penghubung seorang hamba dengan Tuhannya.

Sudah ditetapkan ada lima waktu solat fardhu perlu ditunaikan. Seandainya kita mengelak dengan pelbagai alasan  sekalipun ia tetap dikira sebagai 'hutang' di sisi ALLAH.

Kita sebagai hamba perlu melunaskan kewajipan sebelum ALLAH swt. melunaskan untuk kita (Azab Neraka).

Bilakah agaknya kita betul-betul bersedia untuk menunaikan solat dengan sempurna?

Adakah kita mempunyai waktu yang cukup untuk menggantikan segala solat yang telah tertinggal?

Sesungguhnya hari ini tidak akan sama dengan semalam dan jauh berbeza dengan esok. Tidak sama pagi yang ada matahari dan malam yang bertemankan bulan.

Lalu solatlah diawal waktu dan gantikanlah solat yang telah tertinggal.

Marilah menuju kejayaan
Marilah menuju kejayaan


Sebutan dua kali "Marilah menuju kejayaan" yang sama banyak dengan panggilan solat.

Sesungguhnya orang yang menang dan berjaya di sisi ALLAH ialah orang yang tetap mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk.

Ini juga menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk mencapai kejayaan yang pasti bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat sana.

Kejayaan yang sebenar-benarnya bukan sahaja dari berapa banyak harta kita, tetapi betapa kita menjagaNya di hati kita dengan menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sebaik-baiknya tinggalkan dahulu kerja mencari harta untuk dunia untuk mengerjakan solat sebagai bekalan di akhirat sana sejurus sahaja seruan azan dilaungkan.

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
Tiada Tuhan selain ALLAH

Kita diingatkan kita sekali lagi betapa besar dan agungnya ALLAH SWT. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH. Manusia itu mudah lupa dan lemah, tetapi ALLAH itulah sumber kekuatan kita.

Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan cela.

Kalaulah diri mudah mengikut ajakan teman-teman walaupun pujukan tanpa sebarang alat pembesar. Kenapa azan yang dilaungkan dengan lantang langsung tidak terendah oleh akal dan fikiran apalagi jasad?

Walhal, Syaitan sekalipun akan berlari bertempiaran tatkala terdengar laungan azan menunjukkan betapa azan ini mampu memberi rasa GENTAR pada syaitan.

Adakah kita ingin menjadi lebih teruk daripada makhluk tersebut, tiadakah rasa gentar dan takut dalam hati kita tatkala nama ALLAH dilaungkan?

Ingatlah, selagi kita terdengar kalimah ALLAH dari azan yang dilaungkan, persiapkan diri untuk solat.

Kerana kita tidak tahu sampai bilakah lagi laungan ini akan kedengaran di cuping telinga.

Andai panggilan menghadapNya sudah tiba, sudah tentu kita tidak mampu menangguhkannya apalagi mengelak.
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails