Iklan

29 November 2010

Selepas Balik dari Tanah Suci.....

Sukar kekal beribadat selepas balik dari Tanah Suci  Makkah 

 

PADA masa ini ramai yang sudah mampu mengerjakan umrah mahu pun haji. Namun, di sebalik kemudahan ke sana, apa yang paling sukar adalah untuk mempertahan atau mengekalkan ibadat itu dalam diri dan amalan seharian apabila kembali ke tanah air. Saya sendiri berasakan kesukarannya. Apakah yang harus kita lakukan bagi mengatasinya?

Sebelum menjawab soalan ini saya suka mengemukakan hadis Nabi SAW yang menunjukkan keutamaan ibadat haji, contohnya hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan ibadat haji, lalu dia tidak melakukan jimak (ketika dalam ihram) dan tidak melakukan perbuatan fasik, maka dia sudah kembali bebas daripada dosa-dosanya seperti ketika dia dilahirkan oleh ibunya”.
Dalam hadis yang lain Nabi SAW sudah ditanya tentang perkara yang paling utama ganjarannya di sisi Allah SWT, lalu Nabi menjawab ia adalah keimanan kepada Allah dan rasul-Nya. Kemudian ditanyakan lagi lalu Nabi menjawab perkara yang paling utama adalah haji yang mabrur. – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Demikianlah ketinggian kedudukan ibadat haji seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Hakikatnya pelaksanaan ibadat haji ini mengajar Muslim mengenai pelbagai perkara, contohnya erti persaudaraan Islam yang sebenar. Muslim juga diajar aspek penumpuan dalam ibadat ketika berada dalam ihram haji kerana Allah SWT tidak mengukur mereka dari segi fizikal tetapi dengan apa yang ada dalam hati. Lantaran itu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kamu pada rupa paras tetapi Dia menilai kamu berdasarkan sejauh mana keikhlasan.? (Riwayat Muslim dan Ibn Majah).
Begitu juga pengalaman berada lebih satu hari di Arafah dan Mina, yang sewajarnya meninggalkan bekas yang mendalam dalam diri seseorang yang melaksanakan haji, khususnya dari sudut kesabaran dan keteguhan semangat dalam mentaati Allah SWT. Inspirasi semangat Nabi Ibrahim menjalankan perintah Allah untuk menyembelih anaknya Ismail juga patut mencorakkan dalam diri kesungguhan yang mutlak terhadap-Nya.
Namun demikian, semangat yang didorong oleh kefahaman dan pengalaman secara langsung atau live yang dilalui ini boleh menjadi lemah ataupun padam sekiranya tiada program penyucian diri secara istiqamah.
Semangat dalaman ini atau lebih tepat dinamakan sebagai iman ini memerlukan kepada empat perkara bagi memastikan kesinambungannya secara sihat. Jika diumpamakan sebagai pokok, ternyata ia memerlukan kepada beberapa elemen bagi menjamin kesuburannya.
Kalangan ulama aqidah, contohya Prof Naeim Yaasin, dari Universiti Amman, Jordan, dalam kitabnya al-Islam, menjelaskan bahawa kalangan ulama Islam menetapkan empat perkara yang menduduki tempat baja ataupun air untuk menyuburkan ‘pohon keimanan’ itu ialah ilmu, amal, zikir dan fikir.
Bertitik tolak daripada itu, jemaah dapat membuat kesimpulan bahawa kesungguhan melakukan beribadat hanya akan berlaku apabila seseorang itu mengambil berat keempat-empat perkara ini. Ambillah kesempatan untuk hadir ke majlis ilmu selalu. Selain itu Muslim hendaklah mendampingi ahli ilmu yang ikhlas. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis, maksudnya: “Sesiapa dikehendaki Allah SWT baginya kebaikan, maka dia akan menjadikannya memahami urusan agamanya.” ? (Riwayat al-Bukhari dari Mu’awiyah)
Setiap individu juga dituntut mengamalkan wirid dan zikir yang tertentu sekurang-kurangnya selepas setiap solat dan zikir waktu pagi & petang, kerana ia juga mampu memberikan kita kekuatan dan menjadi benteng untuk kita mengelak daripada melakukan maksiat.
Ada satu pengajaran daripada kitab Jami’ al-Ulum wal Hikam oleh Ibn Rajab al-Hanbali bahawa Umar bin Ab Aziz berkata, jiwa yang kekosongan akan mudah diisi oleh mazmumah. Dengan sebab itu mengelakkan hati dari adanya kekosongan seperti itu, kita dituntut mengamalkan zikir secara istiqamah.
Sehubungan itu, Ibnul Qayyim pernah menceritakan dalam kitabnya al-Wabil al-Sayyib bahawa gurunya Syeikhul Islam berkata: “Keperluan kita kepada zikrullah menyamai keperluan ikan kepada air. Seperti ikan yang akan mati tanpa air, demikianlah juga hati akan mati tanpa zikrullah.”
Sebagai penyempurnaan kepada tiang penyokong keimanan dalam diri, setiap Muslim hendaklah memperuntukkan waktu secara khusus untuk untuk tujuan berfikir. Amat benar al-Imam al-Nawawi apabila beliau berkata, menyusun laluan anak tangga ke syurga Allah SWT itu adalah dengan menyenaraikan amalan sunnah yang perlu kita lakukan.
Antara yang beliau senaraikan dalam salah satu anak tangga menuju darjat salih itu ialah membanyakkan berfikir ataupun bertafakur. Tafakur yang dimaksudkan ini adalah berfikir mengenai kekuasaan Allah SWT dan rahmat-Nya agar terbit dalam diri perasaan syukur.
Perkara ini dapat kita perhatikan menerusi ayat ke-191 surah Ali Imran yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah SWT ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.”
Dalam sahih tafsir Ibn Kathir diriwayatkan bahawa Bilal melihat Nabi menangis apabila surah ini diturunkan. Apabila ditanya maka Nabi SAW sudah menjawab maksudnya: “Celakalah bagi orang yang membaca ayat ini tetapi tidak memikirkan apa yang terkandung di dalamnya.”? (Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir, Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, jld 2 hlmn 394).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails