Iklan

29 August 2011

Syawal Bukan Noktah.....

Pengertian Syawal adalah sebagai tanda kemenangan, kejayaan, dan kecemerlangan. Namun sebenarnya kemenangan hanya diperolehi setelah wujudnya perlawanan atau pertarungan.

Bagi mereka yang telah merasa perit bertarung dan berjuang di bulan Ramadan akan dapat menilai dan bermuhasabah diri sejauh mana kejayaan yang telah diperolehi.

Kedatangan Syawal bukan bererti noktah dalam bermujahadah tetapi kekuatan mesti dikumpul semula. Kali ini bukan saja menunduk nafsu tetapi berperang dengan syaitan yang sudah lepas bebas. Pemergian Syawal dilepas sayu dengan iringan puasa enam.

Sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad, baginda bukan saja berpuasa enam tetapi turut beriktikaf selama sepuluh hari di bulan Syawal.

Mereka yang telah melalui Ramadan tanpa perjuangan tidak akan merasa kemanisan dan erti kemenangan sebenar. Bagi mereka, Ramadan hanya berpantang makan minum dan Syawal adalah bulan melepas geram dan meng’qada’ kembali semua nafsu yang tertahan.

Sepertimana menahan nafsu selama sebulan, beraya juga mestilah sebulan.

Penghayatan Syawal sebenar, sepatutnya dinilai semula. Jika dilihat pada Sirah Rasulullah, ia bermula dengan takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran.

Syawal adalah bulan kesyukuran. Hidup manusia ini penuh dikelilingi dengan nikmat Allah, yang jika kita hendak dihitung tidak termampu, keringlah lautan tinta menulis tetapi nikmat belum juga terhitung. Janganlah baca yang nikmat itu cuma harta kekayaan tetapi kesihatan adalah nikmat, umur, masa lapang, kehidupan dan anggota pancaindera anugerah Allah adalah nikmat.

Bagaimana seharusnya kita memanifestasikan ingatan kepada Allah? Baginda Rasulullah s.a.w mengajar bahawa tanda syukur itu nampak daripada tiga perkara.

Pertama dengan mengingati dan mengiktiraf nikmat Allah, kedua dizahirkan dengan ucapan dan ketiga diikuti dengan melahirkan melalui akhlak yang mulia, taat perintah dan menggunakan nikmat itu pada jalan dan cara yang direstui Allah.

Di negara kita amalan bersedekah masih kuat diamalkan melalui pemberian duit Hari Raya khususnya untuk kanak-kanak. Walaupun ada unsur komersial tertanam dalam diri anak-anak yang lebih menganggap raya adalah untuk memungut duit namun sejak zaman Rasulullah amalan sedekah sudah dipupuk.

Baginda akan mengajak Bilal berkeliling memberi semangat supaya umat Islam banyak bersedekah terutama sekali untuk kaum wanita. Ajaran baginda begitu menyentuh hati kaum wanita hinggakan mereka mula menanggalkan barang-barang kemas mereka seperti cincin, gelang dan rantai untuk disedekahkan.

Kerana terlalu banyak sedekah yang diterima Bilal terpaksa menyingsing jubahnya untuk dibuat kantung pungutan.

Pada masyarakat hari ini ibu bapa seharusnya memainkan peranan menanamkan dalam diri anak-anak pengertian sebenar Syawal.

Ketika mengajak mereka berkunjung ke rumah saudara mara janganlah mereka diumpan dengan tujuan untuk memungut duit semata-mata hinggakan merasa kecewa jika tidak mendapatnya.

Persaudaraan terjalin apabila segala sengketa dilupakan, permusuhan dan hasad dengki dijauhkan.

Tangan saudara digenggam erat dengan iringan ucapan maaf. Perasaan belas kasihan ditingkatkan kepada semua umat Islam miskin dan kaya.

Di zaman Rasulullah, semuanya diarah berkumpul untuk solat Aidilfitri. Tujuan pertama ialah memanfaatkan nasihat khutbah. Setelah selesai, masing-masing bermaafan dan berdoa untuk saudaranya dengan ucapan “Semoga Allah menerima amalan kita semua”. Bahkan sengaja baginda berjalan pergi bersolat melalui satu lorong dan pulang melalui lorong yang lain supaya lebih ramai sahabat yang dapat baginda temui.

Hari ini ucapan maaf zahir batin seolah-olah menjadi yang terbiasa diucap mengiringi salam. Ia lebih kepada adat daripada ibadat. Sayugia kita menilai semula ucapan ini untuk menjadikan penghayatan sebenar memohon maaf lebih bermakna. Apa lagi jika dengan iringan perasaan ikhlas, persaudaraan lebih terasa. Persaudaraan yang terjalin bukan terbatas pada yang masih hidup tetapi lebih terasa keinsafannya bila kita menziarahi kubur.

Sesungguhnya, mengingati mati itu adalah kekuatan ummah. Ia mendorong kita memperbanyakkan amalan bila kita sedar bahawa penghujung kita adalah ke arah yang sama.

Syawal adalah hari kegembiraan. Rasulullah sendiri memilih untuk menetapkan jodoh dengan Saidatina Aisyah di bulan Syawal. Baginda mula bersama Aisyah setelah dua tahun perkahwinan, juga dalam bulan Syawal. Bahkan Saidatina Aisyah menggalakkan sahabatnya memilih bulan Syawal, bulan kegembiraan jika ada yang mahu berkahwin.

Sekali gus, ia memansuhkan fahaman adat jahiliyah yang menganggap sial pada bulan ini kerana dari ingrustiknya Syawal bererti hilang atau pupus.

Justeru, kemenangan harus dikekalkan dengan adanya kesinambungan pada agenda Ramadan yang kita telah amalkan. Ketakwaan dan keimanan mesti diteruskan, sesuai dengan hadis yang berbunyi:

“Dari Ramadan hingga Ramadan yang akan datang akan menjadi penghapus dosa jika tidak diselangi dengan dosa.”


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails