Iklan

07 August 2011

Buku Baru sempena Ramadhan

Jalan-jalan kat pasar lambak Sungkai tadi terjumpa plak buku ni....

Mengenali Yakjud Makjud




Yakjuj Makjuj Bencana Di Sebalik Gunung





Profesion dan kerjaya penulis buku ini, Muhammad Alexander Wisnu Sasongko ialah seorang dosen (pensyarah) di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Kejuruteraan Universiti Brawijaya, Bandar Malang Jawa Timur Indonesia.
Dengan bidang yang cukup berbeza itu, bagaimana penulis muda ini mampu menghasilkan sesuatu yang lazimnya lahir dari seseorang yang bidang penguasaannya sama ada sejarah mahupun agama itu sendiri?
"Jika kita menaruh minat yang besar, tidak ada apa pun yang boleh menghalang untuk kita melakukan sesuatu.
"Namun setebal mana pun sesuatu tembok itu jika sudah tiba masanya, belum tentu ia dapat menahan kemaraan kaum Yakjud dan Makjud ini daripada merosakkan muka bumi," ujar Wisnu penuh makna.
Tidak dapat dinafikan sedari usia muda mula mengenal ilmu, Wisnu begitu 'taksub' dengan pelbagai kisah sejarah lama.
Apatah lagi jika kebanyakan catatan itu masih diselimuti bagai kabus tebal di pagi hari. Lalu tugas mengupas persoalan sejarah yang bersifat masa lampau, yang kemudiannya diwarisi turun temurun dengan fakta-fakta yang kononnya tidak boleh diubah, tentu sahaja bukan mudah. Sementelah perlu dikaji dalam perspektif yang lebih luas dan sumber-sumber yang pelbagai.
Sebagaimana yang dilakukan oleh Wisnu sendiri, merungkai persoalan kaum Yakjud Makjud ini terpaksa diambil masa selama hampir empat tahun untuk disiapkan.
Namun Wisnu melakukannya dengan segala besar hati, malah tanpa sebarang rungutan. "Tidak ada istilah rumit kerana berhempas pulas melakukan pelbagai kajian bagi menyiapkan buku ini merupakan satu keizinan dari Allah yang diberi kepada kita untuk meneroka ilmu-ilmu milik-Nya," katanya.
Sekalipun sesudah manuskrip buku ini siap dan lengkap, malangnya tidak ada penerbit di negara asalnya yang sanggup menerbitkan buku ini.
"Walaupun saya juga mengharapkan kajian mengenai kaum Yakjud Makjud ini dapat diterima untuk kelayakan Ijazah Doktor Persuratan, sayangnya sehingga kini saya sukar mendapatkan penajanya.
"Namun mujur sahaja ada penerbit di Malaysia yang sudi untuk melayakkan buku ini diterima oleh khalayak ramai di sini," katanya ketika berkunjung ke Malaysia, baru-baru ini.
Buku ini yang pada asalnya bertajuk Yakjud Makjud dari Perspektif Kitab Taurat dan Injil itu kini begitu mendapat sambutan di negara ini. Sehinggakan seingat penulis semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 April lalu, buku ini antara yang terlaris apabila 5,000 naskhah buku ini terjual sepanjang seminggu pesta itu berlangsung.
Sehingga kini dilaporkan buku ini telah terjual hampir 25,000 naskhah sejak mula diterbitkan pada April lalu. Tidak sahaja faktor reka bentuk kulit buku ini yang menarik dan catchy dengan penggunaan font atau yang diwarnakan merah dan terdapat 'percikan' darah, namun seluruh isi kandungan ini mampu membuatkan kita hanyut untuk mengikuti sejarah kaum ini mengikut rakaman oleh pelbagai pihak dengan dakwaan-dakwaan mereka yang tersendiri.
Malah antara yang jahat menuduh umat Islam itu merupakan kaum Yakjud dan Makjud itu sendiri. Maka tidak menghairankan jika mereka memerangi umat Islam atas nama memerangi kaum yang ganas, kaum yang dahagakan darah dan menjadi ancaman kepada manusia yang lainnya.
Mujur perkara ini dapat didedahkan oleh Wisnu yang terpaksa beliau gali dari tafsiran kitab Taurat dan Injil dalam bahasa yang tidak mudah untuk difahami.
Apabila perkara ini ditanya: "Bukankah kita telah tersedia kemudahan Internet, maka di situ sahaja kita boleh bergantung," katanya.
Kaum Yakjud Makjud ini antara lainnya dapat disimpulkan sebagai kaum perosak atau pihak ketiga yang suka melaga-lagakan dua pihak yang bergaduh. Maka untuk situasi seperti ini, cukup banyak contohnya yang berlaku pada dunia hari ini.
Belum terlambat untuk anda mendapatkan buku ini. Namun, seperkara yang perlu diketahui Wisnu bakal menemui anda dengan sebuah buku 'dedah sejarah' yang baru. Cuma perlu bermula dengan buku Yakjud Makjud ini untuk anda lebih memahami buku baru itu, ini kerana 'mereka' saling dedah mendedahkan!

Tajuk buku: Yakjud Makjud Bencana Di Sebalik Gunung.
Penulis: Muhammad Alexander Wisnu Sasongko
Penerbit: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Halaman: 565 muka surat.
Harga: RM31.50

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails