Fokus PRU13: Projek sakit penentu undi di Hulu Selangor
30 Januari 2013
BUKIT BERUNTUNG – Kerusi Parlimen Hulu Selangor antara kerusi yang bakal menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Sejarah PRU di kerusi parlimen ini mencatatkan kemenangan berterusan Barisan Nasional (BN) sehingga dianggap kubu kuat parti dominan. Bagaimanapun, kubu tersebut sedikit tergugat pada PRU12 apabila penyandang kekalnya daripada MIC empat penggal berturut-turut tewas di tangan PKR.
Rata-rata menyifatkan kekalahan itu didorong kebangkitan rakyat melalui tsunami politik yang turut menumbangkan pemerintahan kerajaan BN Selangor.
Namun, selang dua tahun PKR memegang kerusi Parlimen Hulu Selangor, penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia menyebabkan pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan.
Dipercayai kerana peralihan sokongan rakyat kepada BN mendorong calon daripada MIC, P Kamalanathan memenangi pilihan raya tersebut dan merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Apa pun, sokongan rakyat sering kali dilihat berubah mengikut arus politik semasa dan mungkin terdapat faktor lain yang akan mempengaruhi undi rakyat pada PRU13 nanti.
Jadi, mampukah BN meneruskan rentak kemenangan pada PRU13 dan mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor sebagai kubu kuat mereka?
Berdasarkan maklumat daripada penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Agus Yusoff, banyak faktor yang akan menentukan kemenangan calon parti bertanding pada PRU13 termasuk struktur taburan pengundi terutamanya di negeri Selangor yang akan menjadi percaturan berdasarkan pertambahan bilangan daftar pemilih.
Selain itu, keberkesanan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan turut mempengaruhi pengundi malah faktor sama mampu meraih sokongan pengundi atas pagar.
Pembangunan terbengkalai isu utama
Jika dilihat kepada senario semasa di Hulu Selangor, masalah projek terbengkalai merupakan isu utama yang sering dibangkitkan penduduk sehingga daerah ini dikatakan sinonim dengan pembangunan terbengkalai.
Kesan buruk pembangunan itu bermula sejak zaman pemerintahan BN lagi dan rakyat berkehendak agar peralihan kuasa di peringkat negeri mampu membawa perubahan.
Malangnya, hampir sepenggal penguasaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, tiada sebarang perubahan membanggakan dapat dipersembahkan kepada rakyat.
Itu komen sinis Kamalanathan kepada Kerajaan Negeri yang disifatkan gagal membawa perubahan setelah rakyat memberi mandat sejak 2008.
“Memang banyak projek pembangunan dilaksanakan ketika pemerintahan BN di Selangor, namun gagal disempurnakan oleh pemaju sehingga terbengkalai dan semua masalah itu telah pun diambil alih oleh syarikat penyelamat dan sebagainya tetapi tetap tidak dapat diselesaikan.
“Tapi, mengapa mereka (Kerajaan Negeri) tidak mencari penyelesaian untuk membaiki projek-projek tersebut sedangkan mereka boleh, malah mereka sibuk merampas aset bekas pemaju untuk tujuan apa (mereka berbuat demikian),” katanya.
Kamalanathan berkata, berbeza dengan Kerajaan Persekutuan yang berhasrat membawa perubahan menerusi pendekatan bersifat menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berusaha menyelamatkan projek-projek tersebut dan telah mengenal pasti lebih kurang empat atau lima projek terbengkalai melibatkan kawasan di Bukit Beruntung dan Lembah Beringin.
Katanya, usaha kerajaan juga untuk membela nasib pembeli yang menanggung beban akibat kegagalan pemaju menyelesaikan pembinaan perumahan yang telah dibeli dan kerajaan sedang mengenal pasti pembeli yang terlibat, namun beliau sedar usaha itu mengambil masa yang lama.
Berdasarkan rekod pihak berkuasa tempatan, terdapat sebanyak 11 projek terbengkalai di sekitar Hulu Selangor melibatkan kawasan di Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin, Batang Kali, Serendah, Rasa, Kerling, Hulu Bernam dan Sungai Choh.
Rekod tersebut turut menunjukkan jumlah keseluruhan unit yang terbengkalai adalah 3,832 unit termasuk rumah teres dan teres berkembar, lot banglo dan banglo setingkat, kedai bertingkat dan bangunan pejabat serta bangunan perindustrian.
Pembangunan keseluruhan kawasan tersebut bermula antara 1995 hingga 2006 dan kawasan paling banyak pembinaan terbengkalai adalah Bukit Beruntung dan sekitar Bukit Sentosa serta Lembah Beringin.
Antara kawasan atau projek terbengkalai yang pernah didedahkan Sinar Harian, Projek Pembesaran Kampung Koskan, Projek Pembesaran Kampung Desa Bukit Bujang, Projek Pembesaran Kampung Jawa, Taman Desa Beringin, Projek Taman Malimas dan Projek Genting Valley.
No comments:
Post a Comment