Iklan

14 January 2011

PERANAN UMAT ISLAM DAN ULAMA’ DALAM PEMBANGUNAN



PERANAN UMAT ISLAM DALAM PEMBANGUNAN
Apabila kita memperkatakan tentang pembangunan negara, secara automatik kita akan terfikir kepada mayarakat dan juga kepimpinannya. Meskipun kepimpinan merupakan tunjang kepada pembangunan sesebuah negara, namun kita tidak boleh memperkecilkan tanggungjawab dan peranan umat Islam yang bermastautin dalam sesebuah negara Islam itu sendiri. Peranan dan tugas mereka cukup besar. Ini kerana tanpa sumbangan mereka, pembangunan yang ingin dimiliki tidak akan menjadi kenyataan. Umat Islam adalah aset penting dalam membangunkan sesebuah negara Islam mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Quran.
Rasulullah s.a.w dalam usahanya menegakkan negara Islam di Madinah iaitu selepas hijrah, Baginda telah membina tapak yang teguh bagi negara Islam dan mewujudkan tiga bentuk hubungan yang penting iaitu:

    1. Hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
    2. Hubungan sesama umat Islam.
    3. Hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam dan negara bukan Islam dalam rangka menyampaikan risalah Islam serta menentukan sikap mereka terhadap Islam.
Berdasarkan hubungan yang telah direncanakan oleh Rasulullah s.a.w tersebut, jelas bahawa selain dari hubungan dengan Allah, hubungan sesama umat Islam juga menjadi asas utama dalam pembentukan sebuah negara Islam. Hubungan tersebut menjadi satu ikatan yang boleh memperkuatkan lagi benteng yang telah dibina. Ini penting untuk mempertahankan negara dan agama Islam dari di ancam dan dimusnahkan oleh musuh-musuh Islam yang sudah pasti tidak senang apabila melihat Islam membangun dan kuat. Allah s.w.t telah berfirman:
"Berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah bersama-sama dan janganlah pula berpecah belah"
(Surah Ali Imran: 103)
Umat Islam adalah merupakan pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara Islam. Tidak kiralah dari golongan dan pangkat apa sekali pun. Setiap individu dalam masyarakat Islam itu mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Di antara tanggungjawab yang dimaksudkan di sini ialah tanggungjawab dalam memberi sumbangan kepada proses pembangunan dalam apa bentuk sekalipun, samada dari segi fizikal, material ataupun intelektual. Sebagai contoh, golongan intelek atau cendekiawan boleh menyumbangkan idea dan kepakaran mereka untuk membentuk pembangunan selain dari ilmu untuk tatapan golongan lain bagi memandu ke arah kehidupan yang sempurna di dunia dan juga di akhirat.
Untuk menuju ke arah pembangunan mengikut ajaran Islam, setiap individu muslim dalam masyarakat Islam itu sendiri perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu dan akhlak yang mulia. Jika diri setiap individu telah dipenuhi dengan akhlak yang baik maka secara totalnya perhubungan sesama manusia akan menjadi baik. Secara automatik setiap umat Islam akan tahu tanggungjawab mereka kepada ibu-bapa, saudara-maranya, jiran tetangganya dan lain-lain lagi. Seterusnya akan membentuk sikap suka menolong orang, cinta kepada Allah, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan. Seandainya perkembangan akhlak telah baik maka perhubungan persaudaraan juga menjadi baik. Maka keadaan sesebuah negara akan juga menjadi baik dan sempurna. Ini akan membawa ke arah kesejahteraan negara dan kepesatan pembangunan bagi tujuan membina negara maju mengikut acuan Islam yang sempurna.
Dalam pembentukan umat Islam yang berjaya dan sekaligus membantu kearah pembangunan, selain individu seperti mana yang telah dibincangkan tadi, institusi keluarga juga memainkan peranan penting. Keluarga merupakan institusi kecil yang akan menunjangi atau yang akan mencorak sesebuah masyarakat Islam. Di antara ciri-ciri keluarga yang digariskan oleh Islam ialah:
    1. Keluarga yang sihat, dinamik, cergas dan mampu melahirkan insan yang bersih rohani dan jasmaninya.
    2. Keluarga yang terdidik dengan nilai-nilai agama dalam semua aspek kehidupan.
Di sini dapat kita lihat bahawa setiap umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing bagi membentuk keluarga yang cemerlang tidak kiralah anak, ibu mahupun bapa. Jika mengikut prinsip etika keluarga, tanggungjawab adalah secara menyeluruh diletakkan di atas bahu ketua keluarga iaitu bapa, tetapi lebih baik sekiranya setiap individu dalam keluarga itu memegang dan memahami tanggungjawab masing-masing agar bebanan yang dipikul oleh bapa menjadi ringan sedikit.
Apa yang ingin dijelaskan di sini bahawa setiap umat Islam mempunyai peranan tersendiri yang mana Islam lebih menitikberatkan pembangunan rohani sebelum menuju kepada pembangunan material. Pembangunan material akan lebih sempurna dan efektif sekiranya akhlak dan kerohanian setiap umat Islam mampan. Ini termasuklah pemahaman segala aspek yang dipentingkan oleh Islam dalam membentuk negara Islam yang membangun contohnya seperti memahami politik yang berteraskan Islam, perniagaan, perbankan, ekonomi, pentadbiran, sosial, pendidikan, kebudayaan, perlembagaan, undang-undang dan sebagainya.



PERANAN ULAMA’ DALAM PEMBANGUNAN
Di dalam masyarakat Islam, peranan ulama’ adalah luas dan ulama’ merupakan orang yang bertanggungjawab dalam membawa sesebuah masyarakat Islam dan negara ke destinasi yang diredhai oleh Allah dalam usaha membangunkan tamadun Islam. Jika kita lihat definisi ulama’ itu sendiri dari segi bahasa adalah kata nama jamak (jam’u) bagi alim yang diambil daripada kata kerja (fi’l) bahasa Arab Alima Ya’lamu ertinya tahu atau mengetahui. Jadi alim itu ialah orang tahu dan ulama’ ialah orang-orang yang tahu. Sudah menjadi kebiasaan dan sudah sebati kepada orang Melayu Islam menggunakan perkataan ulama’ dalam bentuk jamak (plural) untuk pengertian alim iaitu seorang yang mengetahui tentang selok-belok agama.
Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang mengandungi pengertian bahawa ulama’ itu adalah orang-orang yang mengetahui darihal agama. Di antara ayat-ayat yang dimaksudkan itu ialah:
"Maka hendaklah kamu bertanya ahli dhikr (ahli-ahli kitab yang terdahulu) sekiranya kamu tidak tahu"
(Surah an-Nahl: 43)
"Dan contoh-contoh itu Kami (Allah) bawakan kepada manusia dan tidak (ada orang yang) mengetahuinya melainkan orang-orang alim"
(Surah al-Ankabut: 43)
" Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang-orang yang tahu dan tidak tahu? Demi sesungguhnya orang-orang yang (sentiasa) ingat (kepada Allah) ialah orang yang mempunyai akal (berilmu)"
(Surah az-Sumar: 9)
Islam bukannya agama yang beku tetapi dinamik, cuma pengamalnya saja yang membekukan diri. Kekeliruan ummah dalam perpecahan umat Islam akan terus berlaku dan bertambah tenat sekiranya institusi agama tidak membetulkan diri mereka terlebih dahulu tidak kira institusi itu milik siapa dan di mana. Ulama’ mestilah ikhlas, amanah dan berani berhadapan dengan pendapat dan penemuan baru yang kadangkala begitu mencabar keimanan seseorang Islam. Tugas seorang ulama’ bukanlah terhad untuk berdebat soal halal-haram tetapi yang lebih penting ialah menyebarkan ilmu agama kepada seluruh umat dan memberitahu apakah fungsi sebenar ulama’ mengikut ajaran Islam. Islam bukanlah agama eksklusif untuk sesuatu golongan tetapi milik semua insan.
Bijak pandai agama sedar bahawa bertaqwa kepada Allah s.w.t bukan sekadar sembahyang, membayar zakat dan berwirid. Bagaimanapun dalam majlis-majlis agama hanya soal ini sahaja yang sering dilaung-laungkan. Soal perniagaan, pengurusan dan sebagainya jarang disentuh, seolah-olah umat Islam tidak perlu berlumba-lumba mencari kemajuan dunia langsung.
"Demi sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya adalah orang-orang alim"
(Surah Fatir: 28)
Sesungguhnya fardu kifayah bukanlah sekadar solat orang mati sahaja. Berniaga, menjadi guru, doktor, tentera, ahli sains dan bidang-bidang lain juga adalah fardu kifayah yang termasuk dalam amalan kepada Allah s.w.t. Walaupun iman atau khatib tidak arif tentang perniagaan, tidaklah bermakna mereka tidak boleh menyeru makmumnya bergiat dalam perniagaan.
Ulama’ dan cendekiawan Islam mestilah bangun menyedarkan seluruh umat Islam akan tanggungjawab dan peranan mereka di muka bumi ini. Malangnya kerana kekeliruan dan penekanan agama yang sempit, umat Islam sekadar menjadi pengguna kepada teknologi yang dicipta oleh bangsa yang beragama lain.
Untuk mendapat hidayah dari Allah s.w.t umat Islam mestilah beriman dan berilmu. Oleh yang demikian tanggungjawab para ulama’ Islam dalam untuk perlaksanaan negara Islam yang membangun ialah mengisi dan menyerapkan nilai kejujuran yang menjadi sebahagian daripada perencanaan pembentukan peribadi umat Islam. Pembangunan dalam usaha melahirkan masyarakat perniagaan dan perindustrian akan lebih cepat tercapai sekiranya mereka di institusi agama turut memainkan peranan sebagai pendorong kemajuan. Barangkali perlu juga semua imam, khatib dan tok-tok guru dihantar untuk didedahkan kepada pengetahuan sains dan teknologi agar dapat diserapkan dalam pengajarannya kelak.
Penerapan Islam tidak seharusnya difahami atau digambarkan dalam bentuk yang negatif yang hanya melahirkan simbol-simbol yang tidak bererti bagi pembangunan masyarakat Islam berasaskan sains dan teknologi moden yang membawa kepada pembangunan industri canggih dan dijiwai serta diwarnai oleh nilai-nilai Islam. Kemajuan yang dicita-citakan ialah suatu masyarakat industri moden yang mempunyai jati diri yang murni dan serasi dengan Islam. Para ulama’ perlulah menerapkan nilai-nilai ini ke atas jiwa masyarakat Islam agar tercapai maksud dan tujuan Islam sepenuhnya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails